Yang disangka, yang tak disangka
Posted by labisman
Sunday, 16 March 2008
Subky Abdul Latif
(HARAKAHDAILY): Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 sekali pun tidak menukar Kerajaan Pusat, tetapi ia telah mengajar Barisan Nasional (BN) yang berkuasa sejak tahun 1955.
Sejak sekian lama sebahagian dari rakyat Malaysia mahu menukar kerajaan dari BN kepada mana-mana parti politik yang lain, kerana banyak buruknya bagi satu-satu parti memerintah begitu lama, maka sekurang-kurangnya rakyat mahu menafikan majoriti dua pertiga kerajaan BN supaya ia tidak jadi kerajaan maharajalela.
Maka yang dihajati oleh rakyat bagi mewujudkan satu suasana demokrasi yang sihat, telah diperolehi melalui pilihan raya pada 8 Mac lalu.
Dengan segala kerenah dan putar belit SPR menjelang pilihan raya, rakyat tidak menyangka dapat menyekat BN mencapai majoriti dua pertiga, apa lagilah merampas empat lagi kerajaan negeri.
Tiga bulan lalu Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan mengingatkan ancaman yang BN mungkin hadapi di Pulau Pinang dan Selangor. Dan hingga menjelang pilihan raya, yang disangka jatuh dari BN ialah Pulau Pinang. Tetapi yang terjadi bukan sekadar Pulau Pinang jatuh kepada DAP, bahkan Kedah jatuh kepadaan kerajaan pimpinan PAS, Selangor kepada pimpinan KeADILan, Perak kepada kebarangkalian muafakat antara PAS, DAP dan KeADILan.
Timbalan Perdana Menteri menumpukan banyak masa untuk merampas Kelantan dan Perdana Menteri tidak berapa bergerak dari Pulau Pinang terutama di kawasannya di Kepala Batas.
Ada sindirian supaya Najib juga lebih baik menjaga Pulau Pinang dari mengganggu Kelantan, kerana takut yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.
Tiga hari sebelum pilihan raya saya berada di Kelantan. Pandangan umum di Kelantan merasakan, keadaan adalah seperti menjelang pilihan raya tahun 1990. Cuma yang dibimbangkan ialah pengundi hantu yang hendak dibawa ke situ. Kalau hantu itu tidak ada, maka BN tidak akan berupaya mengambil Kelantan.
Yang disangka PAS akan mengulangi kejayaan tahun 1990 itu berlaku, dan yang tidak dijangka, pengundi luar atau pengundi hantu, dipercayai ada tetapi tidak cukup oleh peralihan pengundi dari BN kepada PAS adalah lebih besar.
Maka PAS dengan mudah mendapat 38 kerusi dan satu KeADILan. Tinggal enam saja untuk BN.
Ada sangkaan Terengganu boleh dikembalikan kepada PAS. Masalah dalam Umno dan keburukan pimpinan Idris Jusoh memungkinkannya. Orang Terengganu mahukan PAS berkuasa tetapi mahu Idris menang juga supaya dia jadi pembangkang.
Tetapi kalau benar undi hantu seperti yang sebelumnya menyerap, maka itu saja yang dapat mempertahankan Idris dan BN. Banyak bas sewa khas masuk dipercayai memuatkan pengundi hantu. Berlaku kekecohan penyokong PAS cuba menghalang hantu-hantu itu. Tetapi tiada apa yang dapat dibuat kerana polis lebih berkuasa.
Tiada yang dapat dibuat untuk mengubah Terangganu kerana hantu tadi cukup menghalang perubahan semula.
Sebagai yang diduga, Pulau Pinang telah diketahui jatuh kepada DAP sebelum masuk waktu Isyak. Dr. Koh Tsu Koon yang mengelakkan kekalahan di sebelah pulau lari ke kerusi Parlimen Batu Kawan di Seberang Perai, tidak berjaya menyelamatkan diri.
Lari dari pulau itu adalah tanda kerajaannya bakal kalah. Dia cuba mencari kedudukan di Pusat, tidak berjaya. Ia sudah disangka dari mula.
PAS Kedah berazam untuk menawan negeri itu sejak tahun 1969 lagi. Kiranya di masa kawasan Melayu masih banyak dulu PAS tidak mampu menguasai Kedah, maka bagaimana ia dapat ditawan di masa kawasan jelas Melayu bertambah kurang. Maka ia ibarat harap ada percaya tidak.
Tetapi menjelang Isyak PAS Kedah mengetahui ia dapat 16 tetapi tidak dapat membentuk kerajaan sendiri. Tetapi empat KeADILan dan satu DAP, menyebabkan PAS yang berhempas pulas menghadapi kerenah SPR berjaya mengetuai rakan-rakannya menumbangkan BN Kedah.
PAS juga menyumbang kepada kekalahan BN di Perak dan Selangor. Apa yang pembangkang tidak dapat buat di Perak dan Selangor tahun 1969 telah dapat dilakukan tahun ini.
Selangor yang diistiharkan negeri maju setahun lalu dapat dijatuhkan. Ia suatu yang tidak disangka oleh pembangkang, tetapi itulah yanag berlaku di Selangor dan Perak.
Punca kejatuhan BN bukan kerana emosi tetapi ia patut dikalahkan sejak lama. Sejak lebih 30 tahun lalu BN telah membiarkan korupsi berleluasa, hakisan demokrasi dalam semua perkara berlaku, tetapi penguasaannya yang begitu kuat sukar ia dijatuhkan.
BN dan Umno telah lama dilihat seperti kayu buruk. Ia telah menjadi seperti raja zalim zaman purba. Dan paling teruk adalah apabila ia mengenalkan Islam Hadhari yang bukan saja mengelirukan umat Islam tetapi adalah bertentangan dengan Islam.
Doa orang Islam ialah supaya Umno diberi pengajaran supaya umat tidak terus dikelirukan oleh Islam Hadhari. Tetapi orang Islam tidak berupaya untuk menghalang BN yang menguasai masjid, surau, Majlis Agama Islam dan imam serta institusi Islam.
Islam tidak muncul sebagai elemen yang menghalang kerajaan menguasai Islam, tetapi Allah datangkan perubahan sikap dari kalangan orang bukan Islam, membuka jalan kepada orang Islam membuat perubahan.
Yang tidak disangka PAS dapat memenang beberapa kerusi bukan saja di negeri-negeri yang BN kalah, tetapi PAS dapat memenangi kerusi di Negeri Sembilan dan Johor.
Kejatuhan BN itu bukan tidak disangka, cuma bila ia akan jatuh.- tajdid
Saturday, March 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment