Monday, March 17, 2008

Hormatlah kerajaan parti pembangkang


Hormatlah kerajaan parti pembangkang

Posted by Raja Petra
Monday, 17 March 2008, MT


Apa yang berlaku di Perak itu membimbangkan. Pihak BN memerhati peristiwa di Perak itu seperti kucing memerhatikan anak-anak tikus yang keluar dari lubang pensembunyiannya.

ANTARA KITA

Oleh Mohd Sayuti Omar

Semua Menteri Besar baru di empat buah negeri yang dikuasai parti pembangkang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar. Majlis angkat sumpah MB Perak dijadualkan harei ini (17 Mac) setelah ditangguhkan beberapa kali.

Upacara itu dimulai oleh Azizan Abdul Razak (Adun Sungai Limau) daripada PAS yang menjadi MB Kedah. Kemudian diikuti oleh Lim Guan Eng, (Adun Air Putih) yang mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Azizan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah manakala Lim Guan Eng di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Selepas itu diikuti Khalid Ibrahim (13 Mac) (Adun Ijok) dari PKR mengangkat sumpah di hadapan Sultan Shafaruddin Idris Shah menjadi MB Selangor.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz (Adun Chempaka) juga telah mengangkat sumpah menjadi MB Kelantan untuk penggal kelima berturut-turut di hadapan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Almaruhum Sultan Yahya Petra.

Dengan selesai dan selamatnya majlis yang ditunggu-tunggu itu ini bermakna parti PAS, PKR dan DAP buat pertama kali (kecuali Pas) masing-masing mempunyai menteri besar dalam Kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. PAS nampaknya bernasib baik kerana kini mempunyai dua Menteri Besar baru, di Kedah dan Perak.

Pada masa ini sesetengah MB sibuk dengan proses pembentukan kerajaan negeri masing-masing. Proses ini melibatkan perlantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan juga pembahagian potfilo. Pengemaskini juga dilakukan ke atas agensi-agensi penting kerajaan yang merupakan nadi dan penggerak utama kepada kerajaan negeri.

Sesungguhnya pencapaian parti pembangkang itu memberangsangkan dan ia diluar dugaan. Keputusan pilihan raya itu juga satu sejarah baru dalam politik demokrasi negara ini. Ia memberi jawaban bahawa hegemoni BN dan Umno yang menakhtai beberapa buah negeri itu selama ini terjawab. Kini mitos bahawa BN tidak boleh ditumbangkan sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Kejayaan parti pembangkang yang diharapkan selepas ini akan bersatu atas satu platform – Barisan Rakyat (BR) adalah sebagai satu muqadimah kepada usaha yang lama dilakukan sebelum ini. Kejayaan yang ditempa hari ini adalah hasil rintihan secara serius bermula pada tahun 1998 selepas meletusnya reformasi.

Pilihan raya 1999 adalah satu percubaan kerjasama pembangkang untuk menumbangkan BN namun ia tidak berhasil. Malang lagi pakatan yang agak konkrit itu (Barisan Alternatif) bubar begitu saja apabila DAP mengalami kekalahan teruk dan mengikut analisanya ia disebabkan pakatan berkenaan membabitkan Pas. Orang Cina menolak DAP kerana tidak setuju dengan pendekatan dan agenda perjuangan Pas.

Diperhati rakyat

Apapun kejayaan pembakang pada 9 Mac lalu wajar disambut oleh semua orang kerana ianya adalah keputusan rakyat. Jangan hendaknya ada jarum-jarum halus yang cuba menyocok kononya keputusan itu tidak tepat dan sebaganya. Bagi parti Pas, PKR dan DAP pula perlu menjaga dan memantapkan pakatan mereka. Kerajaan yang dimiliki kini perlu dijaga sebaik mungkin.

Lemah atau kuatnya kerajaan yang dibentuk itu akan menjadi ukuran dan perhatian rakyat. Sekiranya kerajaan itu stabil dan berjaya menangani beberapa isu yang dibangkit oleh rakyat di negeri berkenaan sudah pasti ia bakal memberi cabaran sengit kepada BN di masa akan datang.

Hari ini rakyat juga sedang menanti penuh minat dan memerhati perjalanan kerajaan berkenaan. Lebih-lebih lagi pembentukan kerajaan Perak yang masih belum terlaksana. Apa yang berlaku di Perak itu membimbangkan. Pihak BN memerhati peristiwa di Perak itu seperti kucing memerhatikan anak-anak tikus yang keluar dari lubang pensembunyiannya.

DAP, PKR dan Pas harus meminumkan masalah mereka. Segala keretakan kecil perlu ditampong segera agar ia tidak merebak dan meluas.

Dalam pada itu para simpatis kepada Umno dan BN harus menyedari hakikat yang berlaku hari ini. Bahawa pakatan pembangkang menguasai DUN Perak. Apapun alasan dan sebab musababnya rakyat telah memberi mandapat kepada mereka. Begitu juga apapun implikasi yang menimpa nasib Melayu ia tidak boleh disalahkan kepada Pas. Melemparkan masalah itu kepada PAS adalah tidak adil.

Kekalahan Umno dan BN itu harus sama diakui dan diterima oleh Umno. Umno mesti menyedari penolakan pengundi Cina dan India terhadap mereka tentu adalah di mana-mana yang tidak kena. Sama sekali penolakan itu tidak boleh dituding kepada Pas apa lagi tuduhan tidak berasas dan liar mengatakan Pas mengkhianati Melayu.

Sebaiknya dalam keadaan kritikal hari ini Umno berdiam diri dan membuat mahasabah dan bukannya cuba mencungkil batu-batu kecil kemudian dilontar ke tengah pesta pembangkang yang sedang menyambut kemenangan hari ini. Tidak ada faedahnya juga kalau mereka menganggui pesta berkenaan. Apa yang lebih baik Umno mereka ikut sama meraikan kemenangan pembangkang itu kalaupun bukan untuk DAP tetapi untuk PAS!

No comments: