Monday, March 17, 2008
Kit Siang menghadap Raja Nazrin
Kit Siang menghadap Raja Nazrin
Mar 17, 08 7:58pm, Malaysiakini.
Selepas dipersalahkan atas pembatalan majlis angkat sumpah menteri besar Perak minggu lepas, tokoh utama DAP Lim Kit Siang hari ini menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, dan memohon maaf secara peribadi kepada baginda.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata pertemuan itu diadakan selepas majlis angkat sumpah wakil PAS Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar pagi tadi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Sabtu lepas, tambah ahli parlimen Ipoh Timur itu, beliau telah menulis surat rasmi kepada Raja Dr Nazrin berhubung kenyataannya agar 18 wakil rakyat DAP memboikot majlis tersebut yang dijadual Khamis lepas.
Beliau juga kemudiannya membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka.
Lim pada waktu itu berkata DAP tidak bersetuju dengan Mohammad Nizar sebagai ketua kerajaan negeri itu.
Kenyataan Lim yang dibuat tidak sampai 24 jam sebelum majlis tersebut telah mendorong, antaranya, pembatalan majlis tersebut.
Ekoran pembatalan itu, Raja Dr Nazrin mengesyorkan semua 31 wakil DAP, PKR dan PAS menandatangani persetujuan melantik wakil Pasir Panjang itu sebagai MB setelah diperkenan oleh istana.
Sekumpulan rakyat Perak semalam mengadakan tunjuk perasaan membantah kenyataan Lim yang menggesa boikot tersebut - dianggap "menghina" istana.
Dalam kenyataan ringkasnya itu yang boleh diperolehi juga di blognya, Lim berkata tiga wakil setiap parti tersebut diundang ke majlis angkat sumpah hari ini.
Selain beliau sendiri, DAP diwakili pengerusi Perak Ngeh Koo Ham (wakil Sitiawan) dan setiausaha negeri Nga Kor Ming (wakil Pantai Remis).
DAP menguasai 18 kerusi, PKR (tujuh) dan PAS (enam) daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan tiga parti itu memerintah dengan kelebihan tiga kerusi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment