Thursday, March 13, 2008

Melayu, Islam tetap diutamakan

Melayu, Islam tetap diutamakan
Mar 13, 08 11:01pm
Nasib orang Melayu dan kepentingan Islam akan tetap terpelihara bawah kerajaan baru pakatan DAP-PKR, kata timbalan ketua menterinya Mohammad Fairus Khairuddin hari ini.

Bercakap kepada media selepas majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang, Mohammad Fairus berkata dua perkara itu telah diamanahkan untuk dijaganya.

"Agenda Melayu adalah agenda yang penting yang telah diamanahkan kepada saya dan saya tak akan sama sekali membiarkan perkara ini goes in vain. Saya akan pastikan kepentingan ini terbela sebaik-baiknya," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau, yang menang kerusi Penanti, berkata beliau akan memastikan segala perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri tidak akan mengorbankan kepentingan orang Melayu di negeri itu, lapor Bernama.

Mengulas isu ekonomi, lulusan sains politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, "agenda ekomoni baru ini mengambil kira kepentingan semua kaum, sekiranya Melayu terpinggir maka Melayu akan dibela, begitu juga jika Cina atau India yang terpinggir maka mereka juga akan dibela."

Orang Melayu di negeri itu, tambahnya, perlu menilai keupayaan mereka dan tidak menjadikan rasuah dan amalan kronisme untuk memajukan diri mereka.

Kerajaan baru itu juga tidak akan mengamalkan sikap cauvinisme dan sentimen yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, kata Mohammad Fairus, yang juga setiausaha PKR negeri.

Malaysiakini.

No comments: