Friday, March 14, 2008

Zaid: Henti lagakan Melayu-bukan Melayu

Zaid: Henti lagakan Melayu-bukan Melayu
Chan Kok Leong | Mar 14, 08 8:34pm
Bekas pemimpin Umno, Datuk Zaid Ibrahim menggesa ahli-ahli politik - di pihak kerajaan dan pembangkang - supaya berhenti membakar sentimen perkauman ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Lanskap politik telah banyak berubah dan ini adalah masa yang berbahaya jika ia dieksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan bersikap perkauman ," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini semalam.

Di peringkat ini, katanya, keadaannya tidak menentu, dengan hubungan kaum tidak begitu baik dan perpaduan nasional tidak wujud, maka kedua-dua pihak patut mengelak daripada membuat kenyataan yang berunsur emosi.

Zaid yang tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi parlimen Kota Bharu, berkata beliau telah menerima banyak SMS yang menyebarkan bahawa orang Melayu sudah hilang kuasa.

"Dan media arus perdana juga tidak membantu perkara itu apabila mereka berkata orang Melayu telah hilang 'ketuanan Melayu'. Kita baru sahaja kalah satu pilihanraya. Masih ada lagi pilihanraya pada masa depan.

"Jangan jadi emosi, Tunggu empat tahun lagi. Jika Barisan Nasional menjalankan tanggungjawab, maka kita boleh menang balik," katanya.

Di samping itu, Zaid menegur pemimpin DAP kerana membuat kenyataan yang berunsur 'provokatif'.

"Saya terperanjat bila melihat hari ini DAP menjadi amat angkuh. Pada hari pertama mentadbir, Lim Guan Eng (ketua menteri pulau pinang) membuat kenyataa mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.

Katanya, ini bukanlah masa untuk membakar perasaan mana-mana pihak.

"Hubungan kaum di negara kita masih rapuh dan mereka yang terpilih (wakil rakyat) mesti berhenti bercakap dan (sebaliknya) buat kerja," katanya.

Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, Lim mengisytiharkan bahawa kerajaan negeri akan menghapuskan DEB, satu program afirmatif untuk membantu kaum bumiputera.

"Seorang pemimpin yang baik hendaklah mampu berkata, mana-mana bahagian DEB yang baik, iaitu untuk membantu golongan yang terpinggir, hendaklah diteruskan. (Bahagian) DEB yang membantu individu-individu tertentu untuk mengkayakan diri sendiri hendaklah dihentikan. Itu sahaja yang beliau perlu katakan, bukan membuat kenyataan yang provokatif," kata Zaid.

"Ini adalah perkara yang Lim harus berhati-hati. TV3, akhbar dan stesen radio juga mesti berhenti melaga-lagikan orang Melayu dengan bukan Melayu. Itu amat berbahaya," katanya.

Malaysiakini.

No comments: