Wednesday, March 19, 2008

Jalan ke hadapan






Jalan ke hadapan

Posted by Raja Petra
Thursday, 20 March 2008,MT

Politik Malaysia pasca pilihanraya umum ke-12

Melihat kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam masa tidak sampai dua minggu ini, kita berasa optimis bahawa negara kita akan selamat, aman dan terus maju.

Oleh: Kassim Ahmad

Katakanlah, “Tuhan kami, pemilik segala kedaulatan! Engkau memberikan kedaulatan kepada siapa yang Engkau pilih. Engkau melucutkan kedaulatan daripada siapa yang Engkau pilih. Engkau mengurniakan maruah kepada siapa yang Engkau pilih, serta menghinakan siapa yang Engkau pilih. Pada tangan-Mu segala kebaikan. Di atas segala sesuatu, Engkau berkuasa. Engkau memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada siapa yang Engkau pilih tanpa hisab.” – Quran, 3: 26-27

Keputusan Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-12 telah meninggalkan kesan-kesan yang besar dan membawa kemungkinan-kemungkinan dan harapan untuk suatu politik baru di negara kita. Dalam artikel ini, kita akan mengkaji kemungkinan-kemungkinan dan harapan ini.

Perlu kita mengelak pandangan hidup liberalisme yang tidak berpijak di bumi nyata. Persekutuan Tanah Melayu, atau Malaya, dan kemudian Malaysia, lahir dalam suatu konteks sejarah dan budaya – dari Kesultanan Melayu Melaka atau Empayar Melaka, dalam kenteks sejarah dan budaya yang dikenal dengan istilah Alam Melayu, atau Kepulauan Melayu, atau Nusantara. Institusi Raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Agung, sebagai kuasa yang berdaulat, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam dan lain-lain yang bersangkutan, menunjukan keterikatan Malaysia Baru dengan konteks sejarahnya.

Inilah yang dirujukkan sebagai Ketuanan Melayu. Ini dimensi sejarah negara kita. Di samping itu, kita sedang menuju ke arah pembinaan sebuah bangsa baru, Bangsa Malaysia. Apabila Singapura masuk Malaysia dalam tahun 1963, PAP menonjolkan slogan “Malaysia Malaysia” yang akhirnya membawanya tersingkir dari Malaysia. Setelah lebih empat puluh tahun, konsep Bangsa Malaysia telah diutarakan oleh Kerajaan kita sendiri dalam Kertas Gagasan Wawasan 2020. Ini menunjukkan tidak ada percanggah asas dalam gagasan Malaysia “Ketuanan Melayu” dengan gagasan Malaysia “Bangsa Malaysia”. Gagasan ini gasasan yang realistik, berpijak di bumi nyata, padahal gagasan liberal gagasan yang wujud dalam vakum dan tidak boleh dicapai.

Walaupun konsep kongsi kuasa dalam gabungan parti B.N. berbentuk parti-parti dari sesuatu kaum, ia ditonjolkan sebagai tidak perkuaman. Pada praktiknya, ia tidak benar. Malah pemimpin-pemimpinnya masing-masing ingin membuktikana bahawa merekalah wira dan pejuang kaum itu. Pemimpin-pemimpin seperti ini mengobankan prinsip serta mendakap oporcunisma. Lama-kelamaan perjuangan untuk membela bangsa merosot menjadi oporcumisme untuk merebut jawatan, pangkat dan kekayaan. Kes-kes kegagalan B.N. menawan kembali Kelantan dan kehilangan empat negeri lain membuktikan keterpencilan B.N. dari rakyat jelata, termasuk dari orang Melayu sendiri. Masa sudah berubah.

Sekarang bunyi suara supaya UMNO dan PAS bersatu. Ini patut dilakukan pada awal dulu. Malah sejarah membuktikan bahawa PAS sebagian dari UMNO yang kemudian berpecah untuk menubuhkan sebuah parti yang berasingan. Kedua-dua UMNO dan PAS tidak menunjukkan komitmen yang mendalam untuk kedua-duanya bersatu. Setelah lima puluh tahun fikiran rakyat sudah berubah. Parti-parti yang dibentuk mengikut kaum, nampaknya, dari keputusan piliharaya umum ke-12 ini, telah ditolak oleh rakyat semua kaum. Kita tidak mungkin berbalik ke zaman itu lagi.

Namun demikian gagasan besar “Bangsa Malaysia” masih samar. Bangsa Malaysia bersifat Melayu, atau Cina, atau India, atau apa? Soal ini penting dan mendefinasikan Malaysia dalam konteks sejarah dan budayanya, yang telah kita sebutkan tadi. Barisan Nasional, khasnya parti UMNO yang menjadi tulang-belakangnya, dalam masa yang lama yang diberikan sejarah, gagal memperteguh dan memantapkan sifat Malaysia ini melalui sistem pendidikannya dan melalui dasar-dasar kebebasan dan persamaan dalam hal-hal aama dan kebudayaan.

Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai “agama rasmi” atau “agama negara” telah ditafsirkan secara sempit untuk memaksakan tafsiran itu secara tidak adil kepada semua semua kumpulan agama. Kebebasan agama yang mutlak dijaminkan oleh Tuhan dalam Quran dalam ayat yang masyhur (2: 26): “Tiada paksaan dalam agama. Jalan yang betul sekarang telah jelas dari jalan yang salah.” Di samping itu, Malaysia telah didefinasikan sebagai sebuah “negara Islam” dengan implikasi dinobatkan undang-undang Syariah. Harus disedari bahawa apa yang dikatakan undang-undang Syariah ialah ciptaan kaum fukaha (golongan peguam klasik) yang kebanyakannya tiada dalam Quran, malah sesetengahnya bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Inilah yang menyebabkan kes-kes konflik agama, seperti kes Lina Joy dan lain-lain, dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Perhatikan bahawa dalam Perlembagaan Madinah yang masyhur itu, yang digubal sendiri oleh Nabi Muhammad sendiri, tiada langsung tersebut istilah “negara Islam” atau istilah “Hukum Hudud”. Konsep yang ada dalam Quran ialah “sebuah negara yang baik di bawah kedaulatan Tuhan yang pengampun.” (Quran, 34: 15) Quran memerintahkan kita, apabila kita menjadi pemerintah, supaya memerintah dengan adil. Undang-undang kesiksaan yang dianjurkan oleh Quran harus dicirikan oleh dua prinsip saja, iaitu keadilan dan ihsan. Pemerintahan-pemerintahan yang mengikut prinsip-prinsip ini layak digolongkan sebagai pemerintahan-pemerintahan yang diredai Tuhan.

Dengan perubahan-perubahan yang telah dibawa oleh pilihanraya umum yang lalu, kita tersua dengan kemungkinan-kemungkinan dan harapan yang baru. Dalam dunia dalam masa lima puluh tahun yang lalu atau lebih, kita diperlihatkan dengan tiga contoh sistem pemerintahan yan besar, iaitu (a) sistem kapitalis liberal, (b) sistem sosialis komunis, dan (c) sistem teokrasi agama. Untuk masa lima puluh tahun yang lalu, pada dasarnya, kita mengamalkan sistem kapitalis liberal. Bagi kita, sistem ini sudah gagal. Sistem kedua dan ketiga juga sudah terbukti gagal di tempat-tempat lain. Pada saat ini, kita ada satu peluang keemasan dan bersejarah untuk meneroka satu jalan baru bagi kita. Kita mesti mencari “Jalan Yang Lurus”, bebas dari penyelewengan-penyelewangan yang disebut dalam ayat suci dalam surah Al-Fatehah (1: 6-7).

Saya akan menggarsikan beberapa ciri penting dalam sistem baru yang harus kita teroka bagi bangsa kita.

Pertama, ketaatan kita yang asas ialah kepada bangsa dan nusa di atas dasar kebaikan, bukan kepada parti atau suku-kaum. Agama hak masing-masing dan bebas.

Kedua, bangsa Malaysia satu, bukan dua atau tiga. Pada dasarnya, pemerintahan di pusat dan di negeri-negeri harus bekerjasama untuk memajukan Malaysia. Sistem “Kerajaan-Pembangkang” sebenarnya kita tiru dari Barat, dan tidak selaras dengan tradisi dan agama kita.

Ketiga, pemerintah, di Pusat atau Negeri, sama ada dari parti apa pun, mesti memerintah dengan adil

Keempat, pemimpin-pemimpin kita mesti dipilih dari mereka yang layak dari segi kebolehan dan moral.

Kelima, kita mesti menggunakan kaedah perundingan dalam pemerintahan, dalam parti dan dalam masyarakat untuk menyelesaikan semua masalah kita. Cara diktator autokratik dilarang.

Keenam, Bangsa Malaysia sebahagian dari Dunia Antarabangsa. Di satu pihak, kita harus mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara kita dari pencerobohan bangsa-bangsa lain, dan, di pihak lain, kita harus bekerjasama dengan semua bangsa untuk kebaikan dunia.

Melihat kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam masa tidak sampai dua minggu ini, kita berasa optimis bahawa negara kita akan selamat, aman dan terus maju. Kerjasama antara parti-parti Barisan Alternatif dan sikap mereka yang kostruktif terhadap pemerintahan Pusat, yang dipegang oleh B.N., menggalakkan. Kita harap semua pihak akan memegang teguh kepada politik berprinsip dan membuang politik oporcunis yang lama, yang telah mendatang bencana kepada mereka yang telah mengamalkannya. Kita harap B.A. akan mengotai janji-janji mereka. Kita harap B.N., khasnya UMNO, akan membuat perubahan-perubahan yang akan membolehkan mereka mendapatkan semula sokongan rakyat dan memainkan peranan mereka yang positif dalam perkembangan negara kita seterusnya. Seperti yang diajar dalam Quran, hendaklah kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim1234@gmail.comThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: