Wednesday, March 19, 2008

Penggabungan Pas - Umno bukan tidak perlu waktu ini




Penggabungan Pas - Umno bukan tidak perlu waktu ini

Posted by Raja Petra
Tuesday, 18 March 2008, MT

Pas dan Umno umpama laki bini. Pas sebagai isteri yang ditendang dan dideritai tidak mungkin akan bersedia tidur sekatil dengan suami ganas bernama Umno selagi kepedihan ditampar masih terasa kesakitan dijati masih dikira!

ANTARA KITA

Oleh Mohd Sayuti Omar

BANGSA Umno seperti baru terbangkit dari tidur lena yang panjang kini. Keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu menjadi trompet yang menyedarkan bangsa itu bangkit. Sebelum ini bangsa itu nyenyak atas tilam tebal dan tidak pernah merasa bimbang kepada hari-hari mendatang. Mereka sering mengira panas hingga ke petang dan tidak pernah mengira akan berlaku gerimis di tengah hari.

Namun keputusan pilihan lepas yang melayangkan empat buah negeri; Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak, bangsa itu seakan tercuit punggungnya. Dengan mata masih berpinar mereka mahu menolak apa yang berlaku. Tidak mempercayai penghukuman rakyat ke atas mereka yang menjajah rakyat selama setengah abad.

Namun akhirnya mereka juga terpaksa menerima hakikat. Dalam pada itu seribu dalil dan dalih dicari unuk membela diri mereka sendiri mengatakan mereka masih dipihak benar. Dasar...! Lagi sekali untuk kesekian kalinya pembangkang dijadikan kambing hitam. Jari kelingking, telunjuk dan semua jari ditunding kepada pembangkang khasnya Pas dan PKR.

Pas dan PKR dijadikan alat untuk menepis kekecewaan mereka. Dituduh Pas dan PKR menjual kerusi untuk kepentingan Cina – menjadi alat dan perkakas DAP. Anwar dituduh sebagai menjadi petualang bangsa! Aduh Saliha!. Begitulah bangsa yang merasakan mereka sudah lama bertamadun tidak pernah mengalah dan berasa bersalah.

Sehubungan itu meletuslah suara-suara yang kononnya daripada rakyat marhean mengeluh dan mengalunkan kebimbangan mengenai nasib bangsa di masa akan datang. Kononnya kedudukan Melayu akan terancam dan masa depannya juga menjadi suram temeram kerana Umno sudah ditolak. Wekkkkk.... Lantas cadangan dan pandangan dikumpul yang semuanya meluahkan rasa kesal dan marah atas apa yang berlaku. Rata-ratanya menyalahkan Pas dan Anwar Ibrahim dan sedikitpun tidak nampak kesalahan Umno.

Dalam pada itu ada yang mendayu-dayu (pastinya diajar) agar Pas dan Umno segera bergabung. Atas nama survival bangsa dan masa depan negara kedua pihak perlu berada dalam satu saf. Berbagai jenis dan golongan (pendidikan) manusia disuruh agar membuat desakan berkenaan dengan harapan membuka pintu hati pihak Pas.

Sesiapa pun sebagai bangsa Melayu yang tulen, mencintai adat dan budaya dan berpegang kepada agama rasmi negara – Islam?, bersretuju kalau kafilah Pas dan bangsa Umno bersatu dan duduk atas satu landasan. Mereka adalah serumpun yang mempunyai bau yang sama dan memiliki segalanya sama termasuk saiz-saiz anggota sulit yang sama.

Cuma apa yang ingin ditanyai apakah gesaan dan permintaan itu ikhlas? Apakah huluran tangan kepada Pas dan PKR itu suci dan murni untuk menyelamatkan bangsa? Ataupun pengabungan itu diperlukan bagi menyelamatkan individu-individu tertentu yang sebelum ini bakhil akal dan sombong peribadinya yang mana baru sedar setelah kepala terhantuk lambung! Mereka juga terdesak kerana bimbang kesalahan mereka akan dibongkar dan lengan mereka akan disarung dengan gelang besi!

Bagi Pas tentu sukar untuk mereka berbuat demikian meskipun ia tidak bukan langsung menolak. Pas juga mengira ada keperluan dan ruang-ruang kepentingan bangsa yang harus diisi secara bersama Umno. Tetapi seperti mana yang sering disebut Pas, peristiwa lampau masih mencengkam jantung mereka. Tragedi kebencian Umno kepada Pas sehingga menendang Pas dari Barisan Nasional (BN) tahun 1978 masih segar bugar dalam ingatan.

Pas dan Umno umpama laki bini. Pas sebagai isteri yang ditendang dan dideritai tidak mungkin akan bersedia tidur sekatil dengan suami ganas bernama Umno selagi kepedihan ditampar masih terasa kesakitan dijati masih dikira!

Pun begitu bukan bermakna pergaduhan itu akan berterusan selama-lamanya. Ia tetap ada titik tolak. Justeru bagi mereka yang ingin menghukum (pecat dari menjadi ahli Pas) sesiapa yang mengadakan perbicangan agar Umno dan Pas rujuk semula adalah tindakan yang kasar dan membelakangkan budaya perundingan. Selalunya mereka yang berpandangan demikian berkerja secara one man show dan tidak suka menerima pandanghan dan idea orang lain.

Kepada Umno yang kini sakit, pasrahlah dengan apa yang ada. Berikan peluang kepada Pas, PKR dan DAP membina kerajaan mereka. Berilah mereka peluang dan kritiklah secara konstruktif. Bagi saya kalau atas nama negara penggabungan bukan saja antara Umno dengan Pas, tetapi antara Umno, Pas, PKR dan DAP sekali.

Dalam keadaan sekarang ini apa-apa teori atau perkiraan pun tidak wajar kalau mengkesampingkan DAP. Atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara terimalah realiti yang ada hari ini kerana rakyat telah memilih mereka sehingga Dewan Rakyat akan dibubarkan lima tahun akan datang.

Dan kepada mereka yang mempersoalkan kejujuran DAP dan curiaga terhadapnya berhubung dengan Melayu, saya ingin menanyai balik apakah kelebihan dan jaminan bahawa Gerakan dan MCA juga tidak memiliki unsur-unsur yang boleh dicurigai oleh orang Melayu? Bahkan bukan itu saja, para elita dan bangsawan di dalam Umno itu sendiri juga ada kalanya memiliki unsur-unsur yang perlu dicurigai tentang patriotisme mereka.

No comments: