Sunday, March 16, 2008

Demonstrasi bukan cara betul sampaikan pandangan, kata Tsu Koon l

Demonstrasi bukan cara betul sampaikan pandangan, kata Tsu Koon

Posted by Haniza Talha
Monday, 17 March 2008, MT

PULAU PINANG: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata demontrasi jalanan bukan cara yang sesuai untuk menyuarakan pendapat dan perasaan dalam masyarakat pelbagai kaum.

"Perkara ini menjadi pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN)," katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas demonstrasi yang diadakan oleh anggota sebuah parti politik berhampiran bangunan Komtar di sini semalam bagi membantah kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng tentang penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Koh, yang juga Pemangku Presiden Gerakan, berkata semua parti komponen BN perlu menghormati pendirian itu.

Beliau berkata mengadakan forum dan seminar serta menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan konkrit serta disokong oleh fakta, adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi jalanan bagi menyuarakan keresahan tentang sesuatu isu.

"Melalui cara itu, kita akan lebih objektif dalam menilai sesuatu program dan mengukur kemajuan sebenar yang dicapai dalam tempoh tertentu bagi memberi tekanan lebih berkesan terhadap kerajaan negeri yang diterajui DAP di Pulau Pinang," kata beliau. BERNAMA

No comments: