Thursday, March 20, 2008

Exco S'gor angkat sumpah Isnin ini




Exco S'gor angkat sumpah Isnin ini

Mar 20, 08 2:02pm, Malaysiakini.

Barisan exco kerajaan negeri Selangor akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah di Klang Isnin depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurutnya, beliau akan mengumum nama-nama barisan exco berkenaan selepas majlis angkat sumpah tersebut.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di Shah Alam hari ini.

Menurut Bernama, majlis sambutan tersebut dihadiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Khalid enggan mengulas lanjut mengenai komposisi barisan exco negeri, tetapi berkata: "Kami (PKR, DAP and PAS) telah dapat menyelesaikannya."

Mengenai jawatan timbalan menteri besar, Khalid berkata beliau akan menjelaskan perkara itu selepas majlis angkat sumpah ahli exco Isnin depan.

Para penyokong 12 badan bukan kerajaan telah mengadakan demonstrasi secara aman di Dataran Shah Alam semalam untuk mendesak Khalid supaya tidak melantik timbalan menteri besar.

Kumpulan tersebut yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukur Idrus, meminta Khalid supaya jangan melantik bukan Melayu ke jawatan tersebut serta mengekalkan kouta ahli exco Melayu seperti dalam kerajaan negeri sebelum ini.

No comments: