Friday, March 14, 2008

PKR dapat tambahan exco di Perak

PKR dapat tambahan exco di Perak
Mar 14, 08 11:28am

kemaskini 3:50pm Selepas kecewa dan mengancam keluar daripada kerajaan campuran Perak, PKR malam tadi mendapat tiga jawatan exco daripada satu yang diagihkan kepadanya semalam.

Sementara DAP pula mendapat enam exco, kurang dua daripada peruntukan awal, dan PAS kekal satu - selain jawatan Menteri Besar.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat ketua-ketua parti itu malam tadi.

PKR semalam meluahkan secara terbuka rasa tidak puas hati pengagihan barisan exco negeri Perak yang dibuat oleh dua lagi parti.

Lapan kerusi exco diperuntukkan kepada DAP dan dua lagi untuk parti lain.

"Kami dengan ikhlas menegaskan bahawa komposisi exco ini sepatutnya mencerminkan komposisi bilangan penduduk dan mewakili kepentingan semua kaum dengan saksama," kata timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali.

"Semua parti hendaklah peka kepada harapan serta sentimen rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, PKR meminta agar komposisi tersebut dibincang semula.

"Dan sekiranya (komposisi) tidak diubah dengan memuaskan bagi semua pihak, PKR tidak akan menyertai pentadbiran negeri Perak.

"Sungguhpun begitu, kami akan terus mendukung kerajaan campuran untuk negeri Perak sebagaimana yang telah kami setujui lebih awal," katanya.

Malaysiakini difahamkan, tokoh DAP Lim Kit Siang, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiausaha agung PAS Datuk Kamaruruddin Jaffar turut terlibat secara tidak langsung dengan keputusan terbaru malam tadi.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN, pembangkang merebut 31 kerusi dengan meninggalkan BN 28 kerusi sahaja.

DAP menang di 18 kerusi, PKR (tujuh) dan PAS (enam).

PKR juga mendapat satu peruntukan untuk jawatan Senator.

Sementara itu, semua 31 anggota wakil rakyat tiga parti itu telah menurunkan tandatangan surat persetujuan bagi menubuhkan kerajaan campuran dan menerima pelantikan wakil PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Surat tersebut telah diserahkan kepada setiausaha sulit Sultan Perak Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor pukul 10 malam tadi, lapor Bernama hari ini.

Malaysiakini.

No comments: