Wednesday, March 19, 2008

Gerakan WP gesa bebas ketua Hindraf

Gerakan WP gesa bebas ketua Hindraf

Mar 19, 08 4:50pm, Malayisakini.

Parti Gerakan Wilayah Persekutuan hari ini menggesa semua pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membebaskan lima pemimpin Hindraf yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam satu kenyataan hari ini, penolong setiausahanya K K Supramaniam berkata, majoriti rakyat Malaysia keturunan India kecewa kerana mereka masih lagi ditahan.

"Saya juga menggesa perdana menteri supaya memberi keampunan kepada pengerusi Hindraf (P Waythamoorty), yang kini tinggal di United Kingdom, untuk membolehkannya pulang ke tanahair," tambahnya.

Supramaniam berkata, jika pengerusi Hindraf itu hendak didakwa atas tuduhan menderhaka, maka beliau menggesa supaya pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, yang melakukan kesalahan yang sama, juga harus didakwa.

"Itulah keadilan untuk semua," katanya.

Kelima-lima mereka - P Uthayakumar, M Manoharan, T Vasantha Kumar, V Ganabatirau dan R Kenghadharan - ditahan pada 13 Disember lalu kerana didakwa menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

'Hasrat rakyat'

Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan habeas corpus yang difailkan oleh lima pemimpin Hindraf tersebut.

Hakim Datuk Zainal Azman Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa arahan penahanan mereka yang dikeluarkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah sah dan memenuhi semua syarat-syarat di bawah ISA.

Seorang daripada tahanan tersebut, Manoharan menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah atas tiket DAP.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Permohonan habeas corpus untuk membebaskan Manoharan dijadual didengar pada 26 Mac depan.

Bagaimanapun, pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata Manoharan sewajarnya dibebaskan kerana penahanannya di bawah ISA bertentangan dengan 'hasrat rakyat' yang telah memilih beliau untuk menjadi wakil rakyat mereka, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

No comments: