Wednesday, March 19, 2008

Tak masuk akal berpakat dengan BN


Tak masuk akal berpakat dengan BN

Posted by Raja Petra
Thursday, 20 March 2008,MT

(Harakah) - Menyertai atau berkerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk pakatan adalah tindakan tidak masuk akal, tegas Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Rakyat mengalihkan kepercayaan dan amanah kepada parti-parti pembangkang kerana mereka sudah tidak tahan lagi berada di bawah kekuasaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Jika amanah dan kepercayaan itu dikhianati, rakyat tidak akan percaya lagi kepada pembangkang, katanya.

"Malah tindakan itu juga akan menghancurkan pembangkang dan bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan rakyat," katanya.

Parti-parti pembangkang juga, kata Mahfuz menempa bencana dan kehancuran jika berkerjasama dengan Umno dan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tindakan itu juga, katanya, akan mencetuskan akibat dan darurat yang sangat berat kepada pembangkang.

"Sebab itulah tak masuk akal sama sekali. Rakyat pasti marah dan pembangkang akan menerima akibat yang sangat buruk serta dituduh melakukan kerja gila," katanya.

Menyampah jadi menyumpah

"Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, rakyat menolak BN kerana mereka sangat menyampah dengan parti pimpinan Abdullah itu.

"Jika pembangkang melakukan tindakan bodoh untuk berpakat dengan BN, rakyat pasti akan menyumpah pembangkang. Menyampah akan jadi menyumpah," katanya.

Serentak itu, beliau menyeru semua pihak yang masih menyokong Perdana Menteri yang dituntut berundur supaya memikirkan semula pendirian mereka.

"Keadaan ekonomi negara bertambah teruk. Sebelum ini, saya menyebut Abdullah seolah-olah menjadi ancaman kepada ekonomi negara.

"Hanya beberapa jam selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, saham merudum dengan begitu teruk sehingga memaksa bursa saham digantung urusniaganya," katanya.

Gagasan baru

Beliau mengajak semua pihak yang mengutamakan kepentingan negara supaya bergabung segera untuk mewujudkan gagasan baru dan melupakan BN yang semakin dilihat mengancam kepentingan negara.

"Tidak guna mempertahan kepimpinan Abdullah dan Barisan Nasional yang hakikatnya seperti kapal yang sedang karam. Jangan karam bersama Abdullah.

"Semua pihak, tidak kira dari mana-mana parti politik sekalipun, mesti bergabung dalam satu gagasan baru untuk menyelamatkan masa hadapan negara ini," kata Mahfuz.

No comments: