Monday, March 17, 2008

Nizar angkat sumpah MB Perak


Nizar angkat sumpah MB Perak

Mar 17, 08 1:07pm, Malaysiakini.

Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS

Upacara tersebut berlangsung jam 11.40 pagi tadi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak.

Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar yang ke-10.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddinMohammad Nizar yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, menjadi wakil pertama daripada parti selain Umno, yang menyandang jawatan menteri besar di Perak.

Kesemua sembilan menteri besar Perak sebelum ini adalah daripada Umno semasa gabungan Perikatan dan selepas Barisan Nasional (BN) diwujudkan.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang itu memenangi 31kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN menang 28 kerusi. Ekoran itu, barisan pembangkang tersebut sepakat untuk untuk membentuk kerajaan campuran.

Mohammad Nizar memenangi kerusi DUN Pasir Panjang. Beliau merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Hari ini juga merupakah hari lahir Mohammad Nizar, selepas majlis itu yang dijadualkan Khamis lalu, terpaksa ditangguhkan kerana DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat dalam penubuhan kerajaan campuran.

Bernama juga melaporkan, beliau yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk V. T. Singam.

Hadir sama di istiadat tersebut ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Turut hadir di majlis angkat sumpah hari ini adalah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Bertutur banyak bahasa

Semalam, ketika menghadiri sebuah forum di Ipoh, Nizar telah mengejut para hadirin apabila bercakap dalam Mandarin, Hokkien, Cantonese, Tamil, dan kemudiannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Forum bertajuk "Apa Selepas Ini" adalah anjuran akhbar Guang Ming Daily, Sin Chew Daily, Eye Asia dan Sin Chew-i di Dewan Dou Mu in Ipoh dan dihadiri oleh 3,000 orang.

Mohammad Nizar menyertai PAS pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi parlimen Kuala Kangsar dalam pilihanraya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau yang ditemani isterinya Fatimah Taat pada majlis itu, mempunyai lapan orang anak - lima lelaki dan tiga perempuan.

Sepanjang berkecimpung dalam politik bersama PAS, beliau telah memegang beberapa jawatan iaitu bendahari badan perhubungan PAS Perak dan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar.

Menteri Besar Perak yang baru itu memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Anglo Chinese (ACS) Kampar sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Anglo Chinese (ACS) Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh, dan menyambung pengajian peringkat A-Level dan ijazah di England.

Beliau memulakan kerjayanya bersama Jabatan Kerja Raya sebelum menjadi jurutera Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

No comments: