Saturday, March 15, 2008

'Muhkhriz tidak bertanggungjawab'

'Muhkhriz tidak bertanggungjawab'
Mar 15, 08 2:08pm
Kenyataan Datuk Mukhriz Mahathir, yang mendesak presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan, tidak bertanggungjawab dan beliau akan dikenakan tindakan tidak lama lagi.

Tindakan terhadap exco Pemuda Umno itu akan diputuskan selepas mesyuarat pergerakan itu yang diadakan selepas barisan kabinet diumumkan, kata ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Tindakan (Mukhriz) itu saya anggap tidak bertanggungjawab dan Pemuda akan mengambil tindakan mengikut saluran sedia ada," beliau dipetik Bernama sebagai berkata.

"Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab selagi saya menjadi Ketua Pemuda dan amanah yang diletakkan di atas bahu saya akan dipikul dengan penuh azam."

Mukhriz menggesa Abdullah melepaskan jawatan-jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno bagi memulihkan parti itu dan kerajaan BN.

"Hanya dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan presiden Umno oleh Datuk Seri sendiri dapat pemulihan Umno, BN dan negara dilakukan dengan jaya," katanya dalam sepucuk surat peribadinya kepada pemimpin itu.

Surat bertarikh 12 Mac itu turut diedarkan kepada beberapa lagi pemimpin atasan Umno dan Malaysiakini difahamkan surat dua halaman itu tidak bertujuan diedarkan kepada umum.

Namun ia kini mula diterbitkan di beberapa laman web dan blog politik.

Hishammuddin menambah, tindakan Mukhriz itu bertentangan sokongan beliau dan Pemuda Umno kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam surat itu, Mukhriz - yang pertama kali bertanding di Jerlun - berkata keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas menunjukkan rakyat menolak kepemimpinan Abdullah.

"Saya berharap Datuk Seri (Abdullah) faham bahawa surat saya ini dibuat degan niat untuk menyelamatkan keadaan yang amat mencemaskan. Gerakan (pihak tertentu) telah bermula untuk menarik wakil-wakil rakyat BN supaya melompat ke parti lawan.

"Musuh BN memerlukan hanya 35 kerusi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri," kata Mukhriz lagi dalam surat itu.

"Oleh itu, sekiranya Datuk Seri tidak berundur dalam tempoh terdekat, saya benar-benar khuatir kepercayaan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Umno dan BN akan lupus sama sekali."

malaysiakini

No comments: