Saturday, March 15, 2008

Umno Pulau Pinang desak Mukhriz dipecat

Umno Pulau Pinang desak Mukhriz dipecat

Posted by Erin
Saturday, 15 March 2008,MT.

(Harakah) Umno Pulau Pinang hari ini mengutuk tindakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Dato' Mukhriz Tun Mahathir dan mahukan beliau dipecat kerana mendesak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato' Azhar Ibrahim berkata, tindakan Mukhriz itu dilihat amat tidak wajar dan memaparkan pendirian pemimpin itu yang tidak tetap dan mahu Ketua Pemuda Umno Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein memecatnya.

Azhar berkata, Mukhriz telah mengeluarkan kenyataan berbeza semasa sidang akhbar di Butterworth dengan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sebelum menghantar surat meminta Abdullah bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu dan menggesanya meletakkan jawatan.

"Adakah ini seorang pemimpin Pemuda yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan negara. Anda perlu tegas, kalau satu pendirian cakap satu, jangan cakap sini lain, esok cakap lain. Ini tidak ada pendirian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan tertutup pemimpin Umno negeri di sini, hari ini, seperti dilaporkan Bernama.

Azhar mendakwa Mukhriz mempunyai kepentingan peribadi dan mahu mengambil kesempatan kerana menghantar surat sedemikian dalam keadaan parti sedang menghadapi sedikit kesulitan selepas pilihan raya umum lalu.

Hari ini, Hishammuddin berkata sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun, akan dibuat selepas mesyuarat Exco Pemuda Umno tidak lama lagi, berdasarkan saluran yang sedia ada.

Di SHAH ALAM, Pemuda Umno Selangor menyifatkan tindakan Muhkriz sebagai perbuatan biadap dan menyerahkan kepada Hishammuddin untuk membuat keputusan.

Ketua Pemuda Umno Selangor Abdul Shukur Idrus berkata mereka menganggap tindakan Mukhriz itu adalah tindakannya sendiri dan tidak mewakili mana-mana pimpinan Pemuda.

"Kita berasa sedih dengan kepimpinan yang kita sokong (Mukhriz) dahulu membuat perkara seperti ini, biarlah kita buat keputusan di dalam parti dan tidak menjadi hero semasa kita tengah tersepit," katanya

Abdul Shukur yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuang berkata Pemuda Umno Selangor memberikan sokongan penuh kepada Abdullah dan juga Timbalan Presiden parti Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

No comments: