Saturday, March 15, 2008

Pakatan dengan BN: Mat Sabu akan cadang pecat

Pakatan dengan BN: Mat Sabu akan cadang pecat

Posted by Erin
Saturday, 15 March 2008,MT

(Harakah) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu akan mencadangkan mana-mana pihak yang berunding untuk mewujudkan pakatan pentadbiran dengan Barisan Nasional (BN) dipecat dari PAS.

"Ya, saya akan cadang," tegas beliau ketika ditanya adakah beliau akan mencadangkan pemecatan mana-mana ahli PAS yang berunding untuk mengadakan pakatan dengan BN.

Diminta mengulas penegasan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa bahawa mana-mana pihak yang berunding untuk mengadakan pakatan dengan BN akan dipecat, beliau mengingatkan semua pihak supaya jangan melupai pengorbanan rakyat dalam perhimpunan aman Bersih 10 November lalu.

"Kalau tak ada siapa nak berpakat dengan kita pun, terpulau seorang-seorang, kita akan terus buat kerja kita dan tidak akan berkerjasama dengan BN," tegas beliau.

Tidak ada mana-mana pihak pun, katanya, yang boleh mengkhianati mandat dan amanah yang diberikan oleh rakyat yang tidak mahu lagi menerima BN dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Rakyat marah terhadap BN yang mengkhianati amanah mereka. Mereka telah mengambil keputusan memilih pembangkang. Kepimpinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) sekarang tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja lagi.

"Jika ada mana-mana pihak yang berkerjasama dengan BN, ia bermakna memberi nyawa baru kepada kepimpinan Abdullah yang sudah hendak mati. Ia pengkhianatan besar kepada amanah rakyat," tegas beliau lagi.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak melupai pengkhinatan yang dilakukan oleh Umno dan BN terhadap orang-orang Melayu dan Islam.

"Jangan lupa kenyataan Abdullah yang menyatakan orang-orang Islam yang hendak menukar agama hendaklah dibenarkan berbuat demikian. Ia satu pengkhianatan dan penderhakaan yang jelas kepada Allah," tegasnya sambil mengecam propaganda yang menyatakan parti-parti Melayu hendaklah berkerjasama demi kepentingan Melayu Islam.

Umno juga, katanya, membunuh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mereka "megah sangat sebagai pembela Melayu" di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan penggal 2004 hingga 2008 yang lalu.

"Ketika meraikan kemenangan di sana-sini, harap tidak terlepas pandang untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ADUN PAS di Kelantan penggal yang lalu yang telah terbukti kesetiaan mereka.

"Bukan sahaja tidak ada seorang pun yang melompat menyertai BN ketika kita mempunyai majoriti dua kerusi sahaja, malah ketika majoriti PAS tinggal satu kerusi sekalipun (selepas kekalahan dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir), keimanan mereka kepada perjuangan Islam tetap dipertahankan walaupu kita tahu banyak tawaran dan umpanan yang cuba ditaburkan," kata beliau.

Mohamad Sabu menyeru semua pihak agar mencontohi keimanan yang dibuktikan oleh kesemua ADUN PAS di Kelantan penggal yang lalu.

"Mereka telah membuktikan kedudukan, wang ringgit dan apa jua tawaran tidak akan menggugat kesetiaan mereka kepada amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka dalam pilihan raya 2004 yang lalu. Mereka tidak cari fasal dengan rakyat," katanya lagi.

No comments: